PENCERAIAN adalah perkara yang tidak disukai Rasullullah SAW, sebagaimana maksud hadis ini. Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Perkara halal yang paling dibenci ALLAH adalah sebuah penceraian.” (Riwayat Ibnu Majah dan Abu Daud) Kahwin cerai dalam kalangan artis sering dipaparkan dan keudarakan di dada akhbar dan corong radio. Bahkan, jumlah pasangan artis bercerai terus meningkat. Isu kahwin cerai sesama artis ini menjadi kebiasaan bagi mereka apabila melepasi zon rumah tangga. Situasi ini jelas menunjukkan penceraian bukanlah langkah terbaik dalam menyelesaikan sesebuah masalah rumah tangga. Islam sendiri tidak menggalakkan penceraian bahkan menggalakkan umatnya agar berbincang dan menyelesaikan dengan cara yang baik dan berhikmah. Mudahnya bercerai Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Penceraian yang berlaku pasti ada puncanya. Ramai mengatakan faktor penceraian berpunca kehadiran orang ketiga. Gosip liar tersebar luas di majalah hiburan, surat khabar mahupun di radio menimbulkan kontroversi apabila mereka mendedahkan hubungan seseorang sebelum mendapatkan kesahihan faktanya. Tidak mempunyai kesefahaman sering menjadi faktor yang menjurus ke arah penceraian. Perselisihan kecil atau perbezaan pendapat sudah menjadi asam garam dalam kehidupan berumah tangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Demi kesejahteraan rumah tangga, mengapa tidak dibuang sahaja yang keruh serta ambil yang jernih. Setiap pasangan pastinya ada kelemahannya masing-masing. Seelok-eloknya, ambillah masa untuk memahami pasangan masing-masing serta jadikan pengalaman yang lalu sebagai pengajaran untuk memastikan kerukunan rumah tangga sentiasa terpelihara. Ada yang mengatakan faktor penceraian berpunca dari wanita. Bila mana seseorang wanita itu mempunyai kerjaya sendiri, mereka lebih mementingkan kerjaya berbanding keluarga. Seorang wanita yang bekerjanya haruslah bijak membahagikan masa serta komitmen demi masa depan keluarga itu sendiri. Setiap pasangan haruslah mengetahui peranan serta tanggungjawab mereka dalam mengendalikan sesebuah keluarga agar isu penceraian tidak akan timbul antara mereka. Faktor kewangan juga menjadi salah satu faktor penceraian berlaku. Masalah ini akan timbul tatkala berlaku perbezaan pangkat dan jurang pendapatan antara pasangan. Apabila si isteri mempunyai pangkat dan pendapatan yang lebih daripada suami, isteri akan merasakan dirinya lebih berkuasa dan akan menyebabkan si isteri untuk tidak menjalankan kewajipan sebagai isteri di rumah. Perasaan hormat terhadap suami akan semakin hilang disebabkan sifat ego yang tinggi dalam diri. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana suami merupakan ketua keluarga. Isteri seharusnya membantu dan bertolak ansur dengan suami. Hasutan keluarga? Campur tangan ibu dan bapa dalam masalah rumah tangga anak-anak juga turut menyumbang kepada pertambahan kes penceraian. Ada sesetengah ibu bapa suka menghasut anak – anak mereka untuk bercerai disebabkan mereka tidak suka kepada pasangan anak mereka atau dalam erti kata lain bukan menantu pilihan. Kes sedemikian ini sudah banyak berlaku dan anak pula mudah terpengaruh dengan hasutan ibu bapa tanpa mencari jalan penyelesaian yang lebih baik. Sebagai ibu bapa, mereka tidak harus mencampuri urusan rumah tangga anak-anak sebaliknya menasihati dan mengajar anak-anak dengan perkara yang menjurus kepada kebaikan. Menurut kenyataan daripada Pendakwah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dalam sebuah akhbar tempatan turut mengakui punca bagi setiap penceraian yang berlaku ialah tiada persefahaman dalam menguruskan rumah tangga, suami atau isteri terbabit dengan hubungan orang ketiga dan poligami. Katanya lagi, wujudnya campur tangan keluarga secara berlebihan dan tekanan bebanan kerja sehingga masa untuk bersama keluarga diabaikan turut menyumbang kepada pertambahan kes penceraian. Konklusinya, isu penceraian bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan. Setiap pasangan haruslah berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk bercerai. Bak kata orang-orang tua, jika mahu bercerai, lihatlah wajah anak kerana di mata mereka ada seribu penderitaan dan kesengsaraan jika ikatan perkahwinan itu terputus. SABARINA MAT SAAT (Penuntut Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim))